Ras Adiba sokong syor tamatkan lantikan Syed Azmi

0
2

AHLI Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi menyokong penuh memorandum yang mengesyorkan untuk menamatkan lantikan Syed Azmi Alhabshi sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menurutnya, perkara itu akan beliau bawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

“Percanggahan kepentingan ini berlaku apabila Penasihat MBKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pemegang Amanah YKN (Syed Azmi) juga Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda NGO, di mana Bella ditempatkan.

“Ini jelas menunjukkan terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan (conflict of interest),” katanya menerusi kenyataan.

Ras Adiba berkata memorandum itu disampaikan oleh pensyarah dan aktivis kanak-kanak, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar yang diusahakan bersama dua peguam yang juga aktivis kanak-kanak, Fatihah Jamhari dan Megat Syazlee Mokhtarum.

Kelmarin, media melaporkan satu memorandum mengesyorkan untuk menamatkan lantikan Syed Azmi sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ahli Pemegang Amanah YKN telah diserahkan kepada Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun baru-baru ini.

Ia susulan kes seorang remaja sindrom down dikenali sebagai Bella yang disyaki telah didera semasa berada di bawah jagaan pusat perlindungan Rumah Bonda.

Jelas kenyataan dalam memorandum tersebut, pengabaian dan penganiayaan Bella didakwa bukan hanya melibatkan ibu angkat dan penjaga Bella iaitu Siti Bainun Ahd Razali.

Malah, kenyataan itu mendakwa Syed Azmi turut terlibat kerana beliau adalah penasihat dan pengasas bersama pusat perlindungan Rumah Bonda selain Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ahli pemegang Amanah YKN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here