Pindaan Perkara 10 Perlembagaan perlu diperhalusi

0
2
dewan rakyat

TIGA keputusan dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang berhubung Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebelum membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti digubal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan kerajaan bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH) pagi tadi sebelum sidang khas Dewan Rakyat bermula hari ini

“Pertama, pindaan yang ada sekarang ini perlu diperhaluskan berhubung dengan tafsiran bagi larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Kedua, cadangan untuk memansuhkan Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain pada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu.

“Ketiga, menggubal satu RUU khusus berkaitan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya ketika membawakan usul Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pindaan itu akan dikemukakan untuk dibincang dan dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang dilantik oleh Dewan Rakyat, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bersama Akta Anti Lompat Parti pada Mei nanti.

Beliau berkata, mengambil kira senario politik negara kebelakangan ini melibatkan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau dalam bahasa mudahnya lompat parti, telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

“Saya ingin menarik perhatian semua ahli Yang Berhormat bahawa semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kita berhadapan dengan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang Perdana Menteri tiga kali dan bilangan Ahli Parlimen Malaysia yang melompat parti telah mencecah sehingga 39 orang.

“Ini merupakan satu isyarat yang jelas menunjukkan bahawa amalan demokrasi negara kita kini adalah tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan

“Umumnya tindakan Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada terhadap Ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui Pilihan Raya,” katanya.

Menurutnya, sikap dan tindakan bertukar parti secara langsung membuat rakyat menilai kesetiaan Ahli Dewan Rakyat terhadap parti yang diwakili dan pada masa sama memberi kesan pada amalan demokrasi negara.

“Dengan pelaksanaan RUU pindaan ini juga persoalan dasar berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat diperincikan dan dijelaskan melalui undang-undang baharu itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan istilah Anti Lompat Parti ini adalah sementara dan nama itu akan diperhaluskan dengan nama lebih wajar dan lebih elok bila dibentangkan nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here