Siti Nurhaliza tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh

0
2

BUAT tahun ketujuh, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, tersenarai tujuh kali berturut-turut dalam The Muslim 500: ‘The World’s 500 Most Influential Muslims’.

Penyanyi tersohor tanah air itu disenarai sejak 2016, diletakkan di bawah kategori seni dan budaya sejak tujuh tahun lalu, lapor Berita Harian.

“Syukur kepada-Nya. Tiada lain yang memungkinkan pengiktirafan ini selain Allah.

“Saya terharu dan terinspirasi selama tujuh tahun. Ini kerana menjadi antara 500 umat Islam yang terpilih daripada pelbagai latar belakang, pekerjaan, golongan dan sebagainya.

“Saya hanya insan kerdil yang sentiasa bersyukur dan insya-Allah, ia menjadikan saya seorang yang lebih baik daripada sehari ke sehari,” katanya.

Siti berkata, beliau percaya setiap mereka yang berada di muka bumi mempunyai peranan tersendiri.

“Kena buka minda, siapa pun kita atau menjadi apa sekali pun atas muka bumi ini, jadilah insan berperanan kepada orang lain.

“Saya sentiasa berdoa menjadi salah seorang daripadanya. Ia bukan untuk kemasyhuran diri, tetapi seorang hamba Allah yang dapat berbakti dan menyalurkan hal bermanfaat demi agama, bangsa dan negara.

“Saya sedaya upaya mengambil bahagian dalam apa juga pembangunan dan aktiviti yang merapatkan saya sebagai umat Islam, mengukuhkan agama serta memperlihatkan contoh terbaik buat semua,” katanya.

Baru-baru ini, portal The Artist Museum berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat meletakkan Siti pada tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dunia.

Menerusi akaun Twitter @theartistmuseum, Siti pernah menggenggam 329 anugerah dari dalam dan luar negara sepanjang hampir 26 tahun bergelar anak seni.

Siti disenaraikan bersama barisan selebriti antarabangsa seperti Michael Jackson, Beyonce, Taylor Swift, BTS, Justin Bieber, Whitney Houstan, Lady Gaga dan ramai lagi.

Selain Siti, seorang lagi anak seni Malaysia turut disenaraikan adalah penyanyi nasyid dan komposer, Hafiz Hamidun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here