Sultan Ibrahim kurnia sumbangan kepada dua penyelam terselamat

0
2

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam yang ditemui selamat selepas hilang di perairan Pulau Tokong Sanggul, Mersing pada Rabu lalu.

Menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim, memaklumkan kurniaan itu diserahkan kepada warga Britain, Adrian Peter Chesters dan warga Perancis, Alexia Alexandria Molina oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ di Pasir Gudang.

“Kedua-dua mangsa menjunjung kasih kepada Baginda Tuanku Sultan atas ingatan dan kurniaan serta mengambil berat akan keadaan mereka,” katanya.

Terdahulu, Adrian dan Alexia ditemui di perairan sekitar Pengerang, Kota Tinggi oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi semalam.

Adrian turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam, iaitu anaknya Nathan Renze Chesters, 14 tahun, telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Manakala penyelam keempat, Kristine Grodem dari Norway, ditemui pada hari Khamis, lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.

Sultan Johor sebelum ini telah menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga hasil siasatan kes ini dan kajian semula seluruh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan aktiviti menyelam di Mersing selesai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here