KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 653 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook KPDNHEP Kelantan, hari ini kejayaan itu adalah hasil Operasi Bersepadu Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
“Maklumat risikan mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kenderaan dari daerah Tumpat menuju ke Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, Kelantan disyaki membawa muatan barang kawalan untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
“Pasukan telah berjaya menahan sebuah kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan dibahu jalan hadapan Kampung Bendang Pak Yong, namun pemandu kenderaan berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran pada jam 10.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut, berjaya menjumpai minyak masak bersubsidi anggaran 653 kg dalam kenderaan terbabit disyaki untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” menurut kenyataan itu.
KPDNHEP Kelantan memaklumkan, nilai rampasan barangan kawalan minyak masak paket bersubsidi dianggarkan RM1632.50 dan kenderaan anggaran RM4,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah RM5,632.50.
“KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini,” katanya. – Malaysiapost

