UNGKAPAN ‘tak syiok’ oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan penolakkan oleh sebahagian ahli jemaah menteri terhadap cadangan rang undang-undang lompat parti.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad, berkata ia sekali gus membuktikan bahawa Parlimen masih dikuasai oleh pihak eksekutif.
“Ungkapan ‘tak Syiok’ mengesahkan penolakkan oleh sebahagian ahli jemaah menteri terhadap cadangan rang undang-undang lompat parti tidak mampu menutupkan bahawa Parlimen masih dikuasai oleh eksekutif (iaitu Jemaah Menteri) atau sebahagian daripadanya.
“Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dalam mukadimmahnya, berjanji untuk ‘berusaha untuk mewujudkan sebuah lanskap politik yang baru dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen’.
“Akhirnya, kesemua ungkapan kata-kata yang hebat-hebat mengenai ‘transformasi’ politik melalui suatu memorandum yang ‘bersejarah’ ditolak begitu saja ke tepi oleh ungkapan kata ‘tak syiok’ dan oleh ‘sebahagian ahli jemaah menteri’,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, petang ini.
Kelmarin media melaporkan yang Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan.
Perkara itu disahkan Wan Junaidi yang juga menteri Parlimen dan Undang-Undang.
Jelas beliau, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.
“Ya, ia telah ditangguhkan,” katanya seperti dilaporkan beberapa media.
Wan Junaidi bagaimanapun berkata, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat itu dibentangkan kelak.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata apa yang berlaku bukan ‘lanskap politik yang baru’ kerana jemaah menteri masih boleh mengagalkan apa yang telah dipersetujui oleh majoriti ahli parlimen.
“Ini bukan ‘memperkasakan peranan institusi Parlimen’ kerana kata-putus berada pada ‘sebahagian ahli jemaah menteri’.
“Kesian saya tengok ‘kerajaan MoU’ ni, bab dalam mukadimah memorandumnya pun tak dapat dicapai,” katanya.- Malaysiapost

