Harga ayam: Mungkin ada aspek yang terlepas pandang – Ahmad Zahid

0
2
Tinjauan Malaysiapost berkaitan harga ayam di Pasar Seksyen 6 Shah Alam hari ini.

USAHA kerajaan dalam menurunkan harga ayam mentah seperti tidak berjaya walaupun pelbagai kaedah dilakukan termasuk memberikan subsidi kepada penternak selain membenarkan import ayam bulat.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terdapat peniaga yang merintih sukar mematuhi harga siling ayam ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata peniaga mendakwa mendapat bekalan ayam pada harga hampir menyamai paras siling ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.

“Justeru, bagaimana mereka mampu mendapat keuntungan jika masih menjual ayam pada RM8.90 sekilogram di pasaran. Akibatnya sebilangan peniaga bertindak menjual ayam melebihi paras siling dan dikenakan tindakan oleh penguatkuasa.

“Kita hairan jika dakwaan peniaga itu benar kerana langkah untuk menstabilkan harga ayam di pasaran pernah diumumkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan misalnya memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60 sen setiap kilogram (kg) bagi membantu kenaikan kos makanan jagung dan soya yang merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam.

Menurutnya, begitu juga dengan permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam.

“Namun selepas segala pengumuman itu, peniaga masih mendakwa menerima bekalan ayam pada harga yang tinggi. Jika begitu apakah impak positif daripada pemberian subsidi dan kebenaran mengimport ayam diberikan kepada syarikat tertentu?

“Barangkali ada aspek tertentu daripada peringkat penternakan sehingga ke peringkat penjualan pihak berwajib terlepas pandang.

Peringkat tertentu yang menyebabkan harga ayam masih belum dapat distabilkan dan impaknya sehingga ke peringkat pengguna,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, apapun yang pasti pengguna dan peniaga sama-sama terkesan akibat kenaikan harga ayam ini dimana bagi pengguna kenaikan harga barang secara langsung telah meningkatkan kos sara hidup mereka.

“Keadaan ekonomi belum cukup stabil akibat kesan pandemik telah menambah beban perbelanjaan harian orang ramai.

Peniaga yang baru mahu ‘bernafas’ semula ketika negera beralih ke fasa endemik terkesan apabila margin keuntungan berkurangan.

“Jika dijual pada harga lebih tinggi orang tidak beli. Jualan merosot sekiranya pengguna mengurangkan perbelanjaan.

Kita sokong pengeluaran makanan ternakan atau dedak alternatif dalam negara untuk turunkan harga ayam bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, bgaimanapun dalam keadaan negara masih bergantung kepada import perlu ada penyelesaian jangka masa pendek yang konkrit.

“Begitu juga dakwaan isu ‘orang tengah’ dan manipulasi bekalan untuk menetapkan harga tinggi perlu diteliti sebaik mungkin.

“Jangan pula dipersoalkan ramai makan ayam kerana purata keperluan ayam 2.09 juta ayam sehari atau 62.9 juta sebulan.

“Hujah sebegitu langsung tidak membantu berdepan isu sebenar dan sekadar mengundang ‘riwayat’ Bangau Oh Bangau” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here