Cuba dirempuh ‘King, polis terpaksa lepaskan tembakan 

0
2
Polis Di Raja Malaysia

POLIS terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi yang hampir merempuh sepasukan anggota ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Bandar Sungai Long, Kajang kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku, ketika tiga anggota yang membuat rondaan cegah jenayah, cuba menahan pemandu kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan. 

Namun, menurutnya, suspek memecut laju kenderaan selepas diarahkan berhenti dan anggota bertugas segera mengejar suspek sekitar tiga kilometer (km). 

“Ketika cuba mengejar, kenderaan dinaiki suspek beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal. 

“Setibanya di jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Zaid berkata, susulan tindakan suspek itu, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki bagi mempertahankan diri, namun suspek berjaya meloloskan diri. 

Katanya, pihaknya kemudian berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian itu di sekitar Bandar Sungai Long. 

“Beberapa individu masih dikesan untuk membantu siasatan dan polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Kajang hari ini,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, hasil penahanan suspek, polis merampas Perodua Myvi warna merah yang mempunyai kesan tembakan dipercayai dalam kes berkenaan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here