Najib kongsi pengalaman urus laptop percuma

0
2

DATUK Seri Najib Razak hari ini tampil berkongsi pengalamannya berhubung pemberian laptop percuma kepada rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, memang kerajaan akan mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada penerima.

“Saya terbaca laporan bahawa kualiti peranti percuma yang diberikan kepada pelajar universiti keluarga B40, mengikut program PerantiSiswa berjumlah RM450 juta dipersoalkan oleh netizen dan ahli-ahli politik.

“Aduan seperti ini pernah berlaku pada masa dahulu semasa kita memberi lebih sejuta laptop 1Malaysia percuma kepada semua murid-murid yang layak.

“Saya telah baca ribuan komen dari penerima minggu lepas apabila saya post berkenaan laptop ini. Ramai yang puas hati dan bersyukur tapi ada juga yang kurang gembira dengan kualiti laptop masa itu,” katanya.

Mengimbas modus operandi pemberian laptop 1Malaysia dahulu, Najib yang ketika itu menjadi Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mengambil keputusan tidak bergantung kepada satu pembekal, namun terdapat juga kelemahan menggunakan pendekatan tersebut.

“Ini adalah kerana kerajaan BN dahulu membuat keputusan untuk tidak bergantung kepada hanya satu pembekal atau satu jenama sahaja untuk elak monopoli dan juga untuk memastikan bekalan laptop terjamin memandangkan jumlah unit yang diberi adalah besar.

“Akibatnya, terdapat perbezaan kualiti bagi laptop yang diberi secara percuma itu,” katanya.

Justeru, Najib menegaskan, kerajaan kena memastikan laptop yang diberi menerusi program PerantiSiswa mempunyai kualiti dan jenama yang sama dan belajar daripada pengalaman lalu.

“Sebab itu, kita wajar belajar dari pengalaman itu.

“Kita wajar memastikan peranti yang akan diberi oleh kerajaan kali ini adalah benar-benar berkualiti, dari jenama yang diterima ramai dan pembekal yang dipilih boleh memastikan bekalan tidak tertangguh.

“Sebab murid-murid sekolah akan bergantung kepada peranti ini bagi pelajaran mereka untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat terutamanya pelajar IPT mempunyai peranti dan akses Internet pada kos yang berpatutan.

Permohonan bagi Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia khusus bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40 akan dibuka bermula pertengahan April ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here