KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 36 kes kematian baharu akibat Covid-19, semalam.
Daripada jumlah tersebut, sembilan kes adalah kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Berdasarkan data KKM di portal COVIDNow, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini seramai 35,228 orang daripada lebih empat juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.
Selangor mencatatkan kematian paling tinggi dengan sembilan kes diikuti Perak dan Sarawak masing-masing (lima) serta Johor dan Pulau Pinang (empat).
Setakat semalam, sejumlah 157,571 kes aktif Covid-19 telah direkodkan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 153,859 individu dikuarantin di rumah manakala 341 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 3,174 dimasukkan ke hospital.
Manakala 197 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), 89 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 108 kes memerlukan mesin ventilator. – Malaysiapost

