Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
TUJUAN saya menulis tulisan bertajuk ‘Berhentilah Memperkecilkan Orang Melayu’ semalam adalah kerana saya tidak gemar apabila nama Melayu itu digunakan untuk tujuan politik dan meraih sokongan apabila pilihanraya hampir tiba.
Saya juga lontarkan soalan kepada mereka yang menganggap Melayu perlukan ‘pelindung’ (baca: parti politik lama yang kononnya mahu bantu Melayu).
Sebab parti politik lama selalu sebut, “Kalau kami tidak dapat mandat dari rakyat, habislah Melayu, Melayu akan susah, Melayu akan ketinggalan”.
Ini pemikiran yang salah kerana sejak puluhan tahun parti politik lama ini memerintah, yang hanya meraih kemewahan adalah kumpulan elit, keluarga ahli politik dan kroni sahaja.
Sekali lagi saya tanya, adakah selama ini Melayu ‘dilindungi’ oleh parti politik lama dan lapuk?
Apabila 2.6 juta pencarum KWSP ada hanya kurang dari RM1,000 dalam simpanan masing-masing, adakah Melayu tiba-tiba ada simpanan lebih banyak dari orang lain?
Apabila harga ayam, telur dan minyak masak naik mendadak kerana kerajaan gagal, adakah Melayu dapat membelinya dengan harga lebih murah?
Apabila 37,415 perniagaan gulung tikar akibat Covid-19, adakah perniagaan Melayu buka dan jalan seperti biasa?
Banyak lagi persoalan saya boleh lontarkan untuk menggambarkan bahawa kerajaan yang gagal ini sebenarnya tidak pernah kisah dengan nasib orang Melayu dan semua rakyat Malaysia.
Maka yang menghairankan saya, apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan susah – ada yang datang melaungkan merekalah yang memperjuangkan Melayu. Padahal Melayu sendiri hidup susah di bawah pimpinan kerajaan gagal.
Logik apa yang digunakan untuk menggambarkan Melayu hidup senang bersama parti politik lama ini?
Yang jelas, keluarga ahli politik makin kaya. Hidup mewah, hantar anak bersekolah rendah di luar negara, handbag mahal-mahal, dapat jawatan besar dalam GLC gaji ratusan ribu ringgit, projek lulus sana sini untuk kepentingan diri dan kroni.
Tapi ada sekolah awam dan hospital awam sampai terpaksa buat kutipan derma untuk beli meja sekolah dan katil pesakit.
Realitinya, yang senang dan mewah itu adalah mereka dari parti politik lama yang suka laung ‘Hidup Melayu’ padahal rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan warna kulit ini hidup dalam keadaan susah, lapar dan sakit.
Penulis merupakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Ahli Parlimen Muar.
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

