Bantuan Khas Aidilfitri: CUEPACS ucap terima kasih kepada PM

0
3
SHAH ALAM 18 DISEMBER 2019. Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat ditemui media pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Kali Ke 28 di Shah Alam Convention Centre. STR/FAIZ ANUAR

KONGRES Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Adnan Mat, berkata pihaknya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju untuk memberi bantuan khas ini kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

“Lebih menggembirakan apabila pemberian itu meliputi kakitangan Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan MySTEP dan RM250 kepada pesara kerajaan sama seperti tahun lalu.

“Makluman awal yang diumumkan oleh Perdana Menteri memberi kelegaan kepada keseluruhan warga penjawat awam dan pesara kerajaan yang akan menyambut Aidilfitri pada bulan hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pemberian tersebut adalah bukti penghargaan kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah kepada rakyat.

“CUEPACS berharap semua penjawat awam meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.

“Dengan keprihatinan kerajaan ini penjawat awam harus kekal fokus kpd tugas dan sudah pasti kerajaan menuntut kepada produktiviti dan intergriti,” katanya.

Pada masa sama, Adnan menegaskan, CUEPACS percaya bantuan khas yang diterima oleh penjawat awam ini turut memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.

“Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain. Tambahan pula ramai rakyat yang berniaga di musim perayaan bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.

Adnan juga berkata, CUEPACS berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam.

“Kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here