BUKIT Aman sedang menyiapkan satu lagi kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah bebas, Ebit Lew.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung laporan yang dibuat di Semenanjung, lapor Berita Harian.
Beliau juga memaklumkan siasatan dijalankan termasuk bagi mengesan saksi-saksi berhubung dakwaan tersebut.
“Belum pasti bila akan didakwa, masih disiapkan siasatan lagi,” katanya seperti dilapor akhbar itu hari ini.
Pada 17 Februari lalu, Ebit, 37, mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom di Sabah, terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Beliau dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Untuk rekod, Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu. – Malaysiapost

