BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menemplak tindakan Pakatan Harapan (PH) yang ingin mendapatkan pujian terhadap keputusan kerajaan bersetuju untuk penstrukturan empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang, sekaligus tiada kenaikan kadar tol di lebuh raya berkenaan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, PH ingin mendapatkan pujian atas langkah diusahakan kerajaan hari ini berhubung pengambilan empat lebuh raya berkenaan dengan Majlis Presiden PH mendakwa apa yang dilakukan kerajaan sekarang merupakan kesinambungan usaha yang dibuat PH pada Okoktober 2019.
“Tak sama, PH. Rancangan kerajaan hari ini adalah untuk mengambil empat lebuh raya berkenaan dan kekalkan kadar tol tanpa kenaikan sehingga tamatnya tempoh konsesi.
“Rancangan kerajaan PH dahulu pula ialah untuk mengambil empat lebuh raya tersebut. Lepas itu bagi toll-free pada tengah malam tetapi kenakan “caj kesesakan” pada siang hari dengan kadar tol yang sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, malah selepas konsesi tol tamat, kerajaan PH rancang untuk terus kutip caj kesesakan ini buat selama-lamanya.
Beliau berkata, ia berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng ketika itu.
“Bermakna janji ‘toll-free’ PH sebenarnya telah menjadi ‘toll forever’. Kenapa perlu toll forever pula?
“Sebab harga yang kerajaan PH cadang untuk bayar bagi empat lebuh raya tersebut ialah sekitar RM6.2 bilion. Iaitu terlampau mahal mengikut penganalisis – pada harga 2.7 kali ganda nilai buku dengan premium sebanyak RM2.82 bilion,” katanya
Najib berkata, ramai penganalisis membuat spekulasi bahawa pembayaran premium yang tinggi itu memberi manfaat kepada projek kroni DAP sebab penjual lebuh raya tersebut juga telah berpakat dengan sebuah syarikat kroni terkenal DAP untuk diberi Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.
Terdahulu dalam satu kenyataan bersama, Majlis Presiden PH mendakwa kadar tol di empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan adalah hasil kesinambungan kepada usaha yang dimulakan kerajaan PH pada Oktober 2019 di mana Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuh raya berkenaan.
Majlis berkenaan berkata, apa yang diumumkan itu adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya. – Malaysiapost

