Doktor dedah kanak-kanak dipaksa guru berpuasa, bekal dirampas

0
3

MELATIH anak kecil berpuasa memerlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan, kata Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Dr Kamarul berkata, untuk mengajar kanak-kanak melakukan ibadah perlulah bersifat mengajak dan memujuk, bukan memaksa sehingga mereka merasa tertekan.

Perkara itu dinyatakannya menerusi Facebook, merujuk kes seorang wanita yang membawa anaknya ke klinik selepas kelihatan agak lemah kerana ‘dipaksa’ untuk berpuasa oleh guru.

“Hari ni ada seorang ibu bawa anaknya yang kelihatan sangat lemah ke klinik. Si anak baru berumur 6-7 tahun. Baru nak mengenal puasa.

“Sekolah pagi. Ibu tak sediakan sarapan, sebab sedang ajar nak berpuasa, tapi dibekalkan air dan roti untuk ke sekolah. Dipesan pada anak, jika tak tahan berpuasa, maka berbukalah dengan bekal yang dibawa,” kongsinya di Facebook.

Namun, jelas Dr Kamarul, ketika mengambil kanak-kanak itu pulang sekolah, wanita itu terkejut apabila melihat anaknya dalam keadaan lemah, selepas ‘dipaksa’ guru berpuasa, dan makanan yang dibekalkan dirampas.

“Sehingga si ibu ambil anaknya pulang di waktu tengah hari, anaknya masih belum berbuka. Jika tidak kerana anaknya kelihatan begitu lemah, pasti si ibu berasa senang hati.

“Malangnya, si anak ni nampak sangat lemah. Dia kata benci berpuasa. Dia benci sekolah. Dia benci kawan-kawan. Anak tu kata dia tak nak berpuasa lagi selepas ini, dan tak mahu lagi ke sekolah,” katanya.

Berkongsi lanjut, Dr Kamarul berkata, kanak-kanak berkenaan mendakwa bekalan makanan dan minumannya diambil guru dan mereka yang tidak berpuasa juga turut ditegur di hadapan rakan-rakan lain.

“Bila ditanya mengapa, si anak beritahu makanan dan minumannya diambil oleh cikgu. Siapa yang tak berpuasa ditegur di khalayak kelas. Ada rakan sekelas yang tertawakan mereka yang tak puasa.

“Lepas sekolah habis, baru bekal makanan dipulangkan. Dipesan sekali lagi oleh cikgu agar berpuasa sehingga masuk waktu berbuka. Si anak hanya menurut, kerana takut dimarahi,” katanya.

Mengulas mengenai situasi itu, Dr Kamarul berpendapat, untuk mengajar anak berpuasa memerlukan persediaan, bukan secara memaksa.

“Kita semua mahukan anak-anak yang membesar dengan cinta terhadap agama. Kita kena lakukannya dengan berhikmah, kerana jika sudah terbit benci, maka sukar nak disemai cinta di kemudiannya.

“Mereka mungkin mampu berpuasa sampai ke Maghrib, namun ia perlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau percaya, tempoh 30 hari adalah cukup untuk mendidik, melatih dan memberi sokongan kepada anak yang baharu belajar untuk berpuasa.

“Sampai masa nanti, kita raikan kejayaan kita sama-sama.Semoga Ramadan ini, lebih baik daripada yang sebelumnya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Dr Kamarul meminta supaya masyrakat tidak mengecam guru kerana ada juga guru yang bagus, prihatin dan berempati. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here