PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, menjangkakan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan dilantik menjadi Perdana Menteri lagi jika Umno memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Langkawi itu berpendapat, sebaliknya penyokong kuat kepada Datuk Seri Najib Razak akan dipilih menjadi Perdana Menteri kerana Najib dilihat lebih dihormati dalam parti berkenaan ketika ini.
“Dalam satu rakaman video Perdana Menteri (PM) ditolak ke belakang oleh Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), yang tarik Najib ke depan di tempat Perdana Menteri.
“Dari peristiwa ini adalah jelas Najib lebih dihormati oleh Umno daripada PM. Apakah jenis Kerajaan yang didirikan oleh Ismail Sabri jikalau ia boleh dihina di hadapan dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ramai ahli Umno hendak supaya PRU-15 diadakan segera.
“Apakah Ismail Sabri akan jadi Perdana Menteri jika UMNO menang. Tentu tidak. Yang akan jadi PM tentulah penyokong kuat Najib. Bagi kerajaan yang akan didirikan, yang utama ialah membebas Najib dari hukuman 12 tahun penjara,” katanya.
Dr Mahathir berkata, perkara itu bagaimanapun belum lagi berlaku tetapi beliau menjangkakan ia boleh berlaku.
“Contoh sudah ada. Anak tiri Najib terlepas dari penjara kerana bagi balik separuh dari duit yang dicuri. Najib boleh bagi balik banyak mana yang dikehendaki oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia akan diampun.
“Setelah mencuri berbillion Ringgit Najib yang didapati salah, tidak dipenjara barang sehari pun. Ini keadilan di Malaysia. Curi seekor ayam masuk penjara serta merta.
“Oleh itu curi berbillion. Didapati salah oleh mahkamah. Bagi balik setengah billion. Bebas. Belum jadi. Tetapi boleh jadi. Saya agak-agak sahaja,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan dipanggil untuk soal siasat kerana membangkitkan isu berkenaan dan di Malaysia ia satu tekanan yang menakutkan, namun jika berdiam diri akan selamat.
Beliau turut menzahirkan rasa pelik dengan masyarakat di Malaysia yang masih menyokong Najib walaupun sudah didapati bersalah.
“Tiap-tiap hari dunia dapat membaca laporan berkenaan perbicaraan kes 1MDB yang diadakan di Amerika Syarikat. Dalam perbicaraan ini ramai nama tokoh-tokoh di Malaysia yang terlibat dengan jenayah mencuri duit 1MDB dilapor.
“Kesalahan yang dilakukan oleh mereka disebut. Di antara orang yang disebut berkali-kali sebagai terlibat dengan menipu 1MDB ialah Najib dan Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor).
“Laporan-laporan ini boleh dibaca dalam akhbar Malaysia. Tetapi yang peliknya ramai orang Malaysia tidak sedikit pun marah terhadap Najib dan Rosmah, jauh sekali merasa malu.
“Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti Najib di sokong sehingga menang dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya. – Malayasiapost

