SEORANG lelaki warga asing ditahan polis semalam, selepas dipercayai menceroboh sebuah tadika di Telok Panglima Garang pada Jumaat lalu kononnya ingin memberi roti kepada anaknya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi seminit yang tular di Facebook mengatakan seorang warga asing menceroboh masuk tadika berkenaan.
Menurutnya, pada Jumaat lalu jam 7.50 pagi polis telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 38 tahun yang bekerja sebagai guru di tadika mengatakan lelaki warga asing berkenaan menceroboh masuk tadika dengan alasan mahu memberikan roti kepada anaknya.
“Apabila guru berkenaan tidak membenarkan masuk, suspek bertindak merampas topic keledae murid yang dipegang guru terbabit seterusnya meluru masuk ke dalam kelas.
“Ibu bapa yang menyedari kejadian itu bertindak menangkap suspek dan semasa ditangkap suspek tidak berhenti membaca ayat al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa kejadian tiada murid yang cedera dan hasil siasatan mendapati suspek tidak mengeluarkan ugutan atau mendatangkan kecederaan kepada sesiapa, selain tadika berkenaan juga tidak menerima murid warganegara asing.
“Bertindak atas maklumat itu, pada jam 10.30 malam tadi sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menangkap seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 23 tahun di Taman Pahlawan, Telok Panglima Garang.
“Semasa tangkapan dibuat, suspek juga gagal memberikan dokumen pengenalan diri kepada polis dan hasil soal siasat awal dapati suspek disyaki mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari dan ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000. – Malaysiapost

