Kadar tol di 4 lebuh raya kekal – PM

0
3
lebuhraya

KERAJAAN bersetuju dengan dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang, sekaligus mengelakkan kenaikan kadar tol di lebuh raya berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat setelah penelitian terperinci daripada semua aspek meliputi bebanan pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan Kerajaan.

“Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, syarikat konsesi berkenaan adalah Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong
(SMART); Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP).

“Melalui penstrukturan ini, kadar tol tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi serta akan dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi.

“Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion,” katanya.

Beliau berkata, ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti mana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

“Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here