‘Sejak 10 tahun lalu saya ajak Najib debat, tapi tidak bersahut’ – Anwar

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan menyahut cabaran debat Datuk Seri Najib Razak berhubung kemelut Sapura Energy Bhd.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata, sebelum ini beliau juga pernah mengajak bekas Perdana Menteri itu untuk berdebat, namun cabarannya tidak ‘disahut’ Najib.

“Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut,” katanya.

Anwar berkata, beliau sudah bersedia untuk berdebat dengan Najib pada bila-bila masa sahaja demi kepentingan negara dan rakyat.

“Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Najib meletakkan syarat sedia menyahut cabaran berdebat dengan Rafizi sekiranya sesi debat berkenaan disertai Anwar.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Anwar turut memetik pantun pendekar Melayu yang ditujukan kepada Najib:

Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang,
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.

Dalam perkembangan lain, Anwar berharap pemilihan PKR perlu dimaknai dengan idealisme dalam mempersiapkan parti ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sempena ulang tahun ke-23 PKR, hari ini, Anwar berkata, parti itu perlu terus bergerak ke hadapan memperjuangkan hak rakyat dan golongan tertindas.

“Acara pemilihan yang akan datang harus dimaknai dengan idealisme serta latar yang berlandaskan hukum dan hak rakyat dalam mempersiapkan parti ke arah pilihanraya umum yang akan datang.

“Wadah ini mesti terus di depan menjadi jurubicara rakyat serta warga yang tertindas. Selamat ulangtahun ke-23 buat PKR!,” katanya.

Pemilihan PKR 2022 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini, kini dalam fasa pertama proses pemilihan dan anggota parti digalakkan untuk memuat turun Aplikasi ADIL yang telah pun dilancarkan pada 4 Mac lepas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here