POLIS menahan sembilan individu dipercayai ejen menjual kad ATM bank untuk dijadikan ‘keldai akaun’ bagi kegunaan sindiket ‘money game’ atau pelaburan dalam talian dalam dua serbuan di sekitar Kampung Melayu Majidee, Johor.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan bersama Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor.
Menurutnya, serbuan dilakukan pada kelmarin hingga jam 10.30 malam tadi dan berjaya menahan lapan suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 40 tahun.
“Hasil serbuan dan tangkapan, pihak polis berjaya merampas 19 keping kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kesemua tangkapan disyaki terbabit dalam kegiatan menjual kad ATM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang berperanan sebagai ejen penjualan kad ATM akan mendapat bayaran kira-kira RM600 untuk setiap kad ATM yang diperolehi.
“Kad ATM tersebut akan dijual semula kepada sindiket money game / pelaburan atas talian dengan harga lebih kurang RM1,600 hingga RM1,900 bagi setiap kad ATM.
“Siasatan mendapati tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah serta kesemua sembilan suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di dalam menyerahkan kad ATM kepada individu yang tidak dikenali.
“Adalah menjadi suatu kesalahan menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada individu lain,” katanya. – Malaysiapost

