PEMILIHAN parti adalah suatu proses menghormati hak dan kebebasan memilih dan tidak harus mencarikkan perhubungan dan silaturahmi sesama pimpinan dan anggota.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bakal dicabar Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tidak lama lagi.
Menurut Saifuddin, pemilihan dalam parti bermaksud persaingan sesama rakan perjuangan membawa makna yang terpilih dan yang tidak, tetap mempunyai tempat dan peranan di dalam parti.
“Parti memerlukan satu pasukan kepimpinan kuat dan mantap, berupa gabungan semua peringkat anak muda, wanita, pimpinan lama dan pimpinan baru yang akan bersama Presiden mempersiapkan parti mendepani pilihan raya umum ke 15 yang akan berlangsung pada bila-bila masa.
“Pemilihan ini akan menghasilkan saf kepimpinan baru yang boleh bekerja sebagai satu pasukan, saling menghurmati, saling mengiktiraf peranan dan sumbangan masing-masing, bebas dari amalan berpuak (factions), memanfat kelebihan bersama dan saling membantu kelemahan sesama kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut memuatnaik poster bagi mengalu-alukan pengumuman Rafizi untuk turut bertanding jawatan nombor dua parti.
Dalam poster tersebut, Saifuddin turut menyifatkan Rafizi sebagai aset parti, seorang yang ktreatif, intelektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.
“Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang dizahirkan dalam perlembagaan parti,” katanya. – Malaysiapost

