Pantau penjualan RON95 kepada kenderaan asing – Najib

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu isu penjualan petrol kepada kenderaan asing diambil perhatian semua pihak khususnya pengusaha stesen minyak susulan pembukaan sempadan negara, 1 April lalu.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian mengulas mengenai gambar tular dipercayai sebuah kenderaan asing mengambil kesempatan mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak negara ini, susulan pembukaan sempadan negara, Jumaat lalu.

Najib berkata, beliau percaya situasi itu berlaku kerana harga bahan api di Malaysia jauh lebih murah berbanding negara lain termasuk negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Mesir, UAE, Jordan dan Oman.

“Gambar ini sedang tular. Dikatakan kenderaan asing beli petrol RON95 di stesen Malaysia. Petrol RON95 adalah bahan kawalan sebab diberi subsidi yang tinggi. Adalah melanggar Akta Kawalan Bekalan kerajaan jika menjual RON95 kepada warga asing.

“Pada ketika ini, petrol RON95 Malaysia pada harga RM2.05 satu liter adalah ke-11 paling rendah dalam dunia – lagi murah dari beberapa negara-negara pengeluar minyak besar dan negara teluk seperti Arab Saudi, Mesir, UAE, Jordan dan Oman,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata, sementara RON97 yang dibenarkan dijual kepada warga asing pada harga RM3.91 satu liter, juga masih jauh lebih murah berkali ganda berbanding negara jiran, Singapura.

“Namun masih jauh lebih murah berbanding harga S$3.02 (RM9.37) bagi RON95 dan S$3.51 (RM10.90) bagi RON97 di negara jiran sebab petrol dikenakan cukai yang tinggi.

“Berbeza dengan Malaysia di mana subsidi yang diberi untuk RON95 di Malaysia adalah sekitar RM1.70 satu liter,” katanya.

Najib berkata, sekiranya warga asing mengisi 40 liter RON95 sahaja, kadar kerugian yang akan ditanggung negara mencecah RM68.

“Jika warga asing isi 40 liter RON95 sahaja, kerajaan akan rugi RM68 wang rakyat kepada warga asing.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, saya percaya pihak berkuasa dan stesen-stesen minyak Malaysia akan memantau dengan lebih rapi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, ada juga segelintir pihak yang menyalahkan beliau berhubung penjualan bahan api kepada kenderaan asing berkenaan.

“Ada juga yang nak salahkan saya dalam ruang komen (Facebook) tapi hakikatnya ialah larangan menjual RON95 kepada warga asing mula dilaksanakan masa saya PM (Perdana Menteri),” katanya.

Untuk rekod, larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing telah dikuatkuasakan kerajaan pada 1 Ogos 2010.

Pengusaha stesen minyak di seluruh negara akan berdepan tindakan permit ditarik balik sekiranya didapati melakukan kesalahan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here