PENERIMA vaksin Sinovac dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang belum menerima dos penggalak, tetapi pernah dijangkiti Covid-19, akan diberi tempoh penangguhan selama tiga bulan.
Berdasarkan catatan di laman Facebook MySejahtera, mereka yang tergolong dalam kumpulan ini perlu juga mengambil dos penggalak untuk mengekalkan status vaksinasi lengkap.
“Status vaksinasi penerima vaksin jenis Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak tapi pernah dijangkiti Covid-19, akan dikecualikan daripada revokasi selama tempoh 3 bulan.
“Namun dua golongan yang tersenarai ini perlu mengambil dos penggalak dengan segera selepas sembuh bagi mengelakkan daripada status lengkap vaksinasi ditukar kepada belum lengkap vaksinasi,” catatnya.
Penerima juga boleh memilih masa dan lokasi untuk menerima dos penggalak masing-masing.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan berkata penerima vaksin Sinovac dan mereka yang berumur 60 tahun ke atas akan kehilangan status vaksin sepenuhnya pada 1 April, jika mereka tidak menerima dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac.
Namun pada Rabu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kumpulan itu akan kehilangan status vaksin sepenuhnya pada 1 April, mereka masih dibenarkan makan di kedai makan dan memasuki pusat membeli-belah. – Malaysiapost

