Covid-19: Pekerja Nike di Sunway Pyramid sah positif

0
3

SEORANG kakitangan Nike di pusat membeli-belah Sunway Pyramid disahkan positif Covid-19.

Pengurusan pusat beli belah itu dalam kenyataannya cuba meyakinkan orang ramai termasuk penyewa, peniaga serta pelanggan bahawa kes itu terpencil.

Katanya, pekerja terbabit telah disaring serta merta setelah dikenal pasti dan pihaknya mengambil langkah mematuhi sepenuhnya semua garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM juga telah menghubungi individu yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan Nike berkenaan dan telah diperintahkan supaya melakukan pemeriksaan segera dan kuarantin.

“Kes ini dikendalikan dengan baik dan terkawal kerana tindakan pantas yang dilakukan oleh majikan kakitangan itu bersama pihak berkuasa,” katanya menerusi Facebook.

Kata pengurusan itu lagi, pihak mereka turut melakukan pembasmian kuman serta pembersihan di seluruh premis.

“Kami juga telah bekerjasama dengan penyewa yang terjejas untuk menyelaraskan secara menyeluruh persiapan kerja pembersihan serta mengemaskini tepat pada masanya untuk menangani masalah ini dengan berkesan dan cekap.

“Pusat membeli-belah dan pegawai kami telah dilatih untuk menerapkan standard dan protokol tahap tertinggi dari segi kebersihan dan sanitasi bersesuaian dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan KKM,” katanya. – MalaysiaPost