Rakyat Malaysia jadi buruh paksa di negara jiran

0
2

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat dan laporan. berhubung sindiket pemerdagangan orang membabitkan warga Malaysia yang diperdaya dan dieksploitasi sebagai buruh paksa di Thailand, Myanmar dan Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata sepanjang 2021 hingga Mac 2022, Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerima enam laporan berhubung sindiket berkenaan.

Menurutnya, ia membabitkan 26 mangsa terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang masih memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket-sindiket berkenaan.

“PDRM percaya bahawa masih terdapat mangsa yang terkandas di bawah Kawalan sindiket-sindiket ini yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah mangsa diperdaya dengan iklan di Facebook mengenai peluang pekerjaan sebagai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran ini akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp atau Messenger.

“Selepas mangsa bersetuju dengan syarat-syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan lain-lain kebajikan, ejen berjanji akan mengurus serta menanggung segala kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan.

“Setelah mangsa tiba di negara tersebut, semua dokumen perjalanan mangsa termasuk telefon akan dirampas dan dimusnahkan, selain pergerakan mangsa juga dikawal dan dokurung dengan Kawalan yang ketat,” katanya.

Abd Jalil berkata, mangsa kemudian dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk, Kemboja; Mae Sot, Thailand; Vientiane, Laos; dan Kayin State, Myanmar.

“Mangsa kemudian sedar pekerjaan sebenar dan merasakan diperdaya apabila dipaksa melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, ‘scammer’, pelaburan palsu, perlombongan Bitcoin dan lain-lain penipuan.

“Mangsa juga tidak dibenarkan untuk balik ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran sindiket tersebut dan sekiranya ingin pulang ke negara asal, mereka diminta membayar ganti rugi yang dianggarkan berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 setiap seorang,” katanya.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh mendapati sindiket-sindiket ini adalah satu rangkaian jenayah rentas sempadan dan membabitkan operasi yang teratur serta mempunyai jalinan rangkaian yang luas.

“PDRM akan berusaha untuk bekerjasama dengan pihak Interpol dan Aseanpol bagi membantu mengesan serta menyelamatkan mangsa di negara masing-masing.

“PDRM juga akan berkolobrasi dengan Kementerian Luar Negeri bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa di luar negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, selain itu siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti ejen yang membuat tawaran kerja serta ‘transpoter’ yang terbabit untuk membawa mangsa kes destinasi-destinasi tertentu.

“Masyarakat dinasihatkan agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji lumayan di luar negara melalui apa jua cara bagi mengelakkan dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempuntai maklumat tentang sindiket ini untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here