VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan negara mempunyai ramai bekas Perdana Menteri yang masih belum bersara serta menginginkan jawatan itu semula.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sokongannya untuk kembali menjadi Perdana Menteri semula.
Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, ternyata Muhyiddin mempunyai cita-cita besar kerana masih lagi berkehendakan jawatan tertinggi negara.
“Cerita cita-cita besar manusia. Rupanya, kerana berkendakkan jawatan tertinggi negara.
“Bukan soal rakyat atau negara, tapi soal jawatan. Sehingga apa pun sanggup dilakukan.
“Apa nak buat, negara kita mempunyai ramai sangat mantan PM yang belum bersara sebenarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, Shahril berkata, adalah perlu untuk rakyat memuktamadkan keinginan tiga individu ini iaitu Dr Mahathir, Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih lagi berharap untuk menjadi Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tak ke kesian kepada yang seorang lagi yang masih belum dapat jadi PM. Mungkin (Naib Presiden PKR) Rafizi (Ramli) kena tolong.
“Kalau tidak dimuktamadkan, rakyat dan negara terus terperangkap dalam impian pemimpin, yang berdua sudah berusia 74 tahun dan seorang lagi sudah hampir 100 tahun,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendedahkan Muhyiddin meminta sokongannya dalam usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, memandangkan Muhyiddin juga adalah individu yang menjadi punca beliau ‘hilang’ jawatan sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

