
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihati pensyarah supaya memilih perkataan yang baik dalam penyampaian dan nasihat.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana bahasa yang dipilih akan melambangkan kesopanan yang ada dalam diri indvidu.
“Saya pernah belajar di universiti dan pernah jadi pensyarah universiti. Saya bersetuju bahawa semua kita termasuk pensyarah wajib memilih perkataan yang baik dalam penyampaian dan nasihat.
“Bahasa yang dipilih melambangkan kesopanan yang ada dalam diri kita. Tegas ada batas, garang pun ada sempadan. Bahasa yang buruk, terbit dari kesopanan yang rendah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, namun seorang pensyarah universiti juga boleh sahaja tidak mempedulikan perkembangan pelajar yang mengambil kursusnya.
“Jika sekadar mengira soal gaji, boleh sahaja tidak peduli perkembangan pelajar yang mengambil kursusnya.
“Siapa lulus, dia lulus. Siapa gagal, dia gagal. Gaji pensyarah tidak akan berkurangan,” katanya.
Namun, katanya, jika ada pensyarah bersungguh-sungguh mahukan pelajar faham dan berjaya, ertinya ada nilai tanggungjawab yang lebih dalam diri pensyarah tersebut.
“Jika dia marah pelajar lewat atau tidak buat tugasan, ertinya ada nilai kasih kepada pelajarnya. Boleh sahaja untuk tidak peduli dan beri sahaja markah yang rendah atau gagalkan.
“Tapi, seorang yang ada jiwa guru dalam dirinya, pasti bukan itu pilihannya. Kita wajar adil dalam hal ini.
“Perkataan yang buruk ditolak, kesungguhan ingin pelajar berjaya satu sikap yang dihargai,” katanya.
Semalam, tular klip video berdurasi satu minit 45 saat yang memaparkan situasi pembelajaran dalam talian di mana seorang pensyarah wanita memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba.
Susulan itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta UiTM menjelaskan berhubung video tular seorang pensyarahnya didakwa memperlekeh pelajar dari golongan B40.
Pada perkembangan sama, UiTM dalam kenyataan menegaskan telah meneliti isu video tular melibatkan seorang pensyarahnya yang mengeluarkan komen sensitif terhadap seorang pelajar yang dikatakan tidak mempunyai komputer riba. – Malaysiapost
