Kadar faedah pinjaman bank dijangka naik pertengahan tahun

0
2
Bangunan Bank Negara Malaysia BNM

JANGKAAN peningkatan inflasi pada separuh kedua tahun ini mungkin mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar faedah, demikian menurut firma penyelidikan.

Public Investment Bank Bhd dalam notanya hari ini berkata, ia mengunjurkan inflasi keseluruhan melebihi tiga peratus, manakala inflasi teras pada 2.7 peratus pada tahun ini.

Selain peningkatan faktor kos global terutama minyak, bank pelaburan itu berkata, inflasi juga akan meningkat berikutan impak susulan daripada lapan program rangsangan fiskal pada 2021 dan tempoh lanjutan bagi persekitaran kadar faedah rendah, lapor Berita Harian.

Katanya, inisiatif awam-swasta untuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan pada tahun ini akan memberi manfaat kepada inflasi.

Ia berkata demikian bagi mengulas laporan tahunan terkini BNM yang mana bank pusat meramalkan inflasi keseluruhan untuk bergerak antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus pada 2022 dan inflasi teras pada dua hingga tiga peratus.

Menurutnya, cabaran daripada pandemik Covid-19 global dan pemulihan ekonomi yang baru bermula selepas krisis, mungkin mendorong BNM untuk mengekalkan dasar akomodatifnya pada separuh pertama 2022, selain turut dipengaruhi ketidaktentuan akibat konflik Russia-Ukraine.

“Bagaimanapun, jangkaan kenaikan inflasi teras membawa kepada persekitaran kadar faedah yang rendah, keadaan yang bleh mencetuskan peningkatan kadar faedah pada separuh kedua 2022.

“Peningkatan yang berlaku juga turut didorong oleh situasi guna tenaga penuh pada 2022 dan langkah terdahulu untuk menghindarkan ketidakseimbangan kewangan,” katanya.

Public Investment Bank berkata, peralihan Malaysia kepada fasa endemik Covid-19 pada April ini akan menyokong pemulihan sepenuhnya sektor kritikal seperti perkhidmatan dan pelaburan swasta, justeru pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi pada 2022.

“Secara kritis, perbelanjaan besar membabitkan Covid-19 akan berakhir tahun ini dan paras siling hutang fiskal akhirnya akan direndahkan kepada paras sebelum krisis, situasi yang menggalakkan untuk penarafan berdaulat kita dan secara lanjutan, kos pembiayaan fiskal kita,” katanya.

Meskipun terdapat inisiatif yang meluas untuk meningkatkan output, bank pelaburan itu berkata, ia tetap berhati-hati berikutan risiko penularan Covid-19 selain potensi kemunculan varian yang membimbangkan.

“Gangguan bekalan dan ketidakseimbangan komoditi global juga boleh terjejas. Kelembapan ekonomi China kekal membimbangkan berikutan kesan limpahannya kepada perdagangan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here