Polis masih siasat punca kehilangan murid 

0
2

POLIS masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kehilangan seorang murid perempuan tahun dua, Sekolah Kebangsaan Taman Mudah 1 Cheras yang kemudian ditemui selamat di kawasan Kondominium The Holmes, Bandar Tun Razak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengetahui sebab kanak-kanak tersebut boleh berada di kondominium berkenaan.

“Pihak Polis Cheras memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan kanak-kanak berusia lapan tahun itu pada jam 7.30 malam tadi selepas ibunya menyedari kehilangannya selepas selesai sesi persekolahan.

“Ibu dan pihak sekolah cuba mencari kanak-kanak tersebut di kawasan berdekatan sekolah tetapi gagal. Kemudian, bapa saudara kanak-kanak itu hadir ke Balai Polis Cheras untuk melaporkan kejadian.

“Ekoran daripada laporan yang dibuat, pihak Polis Cheras telah menggerakkan semua elemen penugasan termasuklah pasukan siasatan bagi mengesan kanak-kanak yang hilang dengan kadar segera,” katanya.

Menurutnya, selain itu pihak polis turut memohon bantuan orang ramai untuk sama-sama menyalurkan sebarang maklumat melalui hebahan di media sosial.

“Pada jam lebih kurang 9.35 malam, kanak-kanak tersebut dijumpai dalam keadaan baik oleh orang awam di kawasan perkarangan lobi Kondominium The Holmes yang kemudiannya menghubungi Polis Cheras.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Beliau berkata selesai proses dokumentasi, kanak-kanak tersebut diserahkan semula kepada keluarganya.

Polis Cheras semalam membuat hebahan di media sosial bagi mengesan Sofia Raniya yang dilaporkan hilang di sekolahnya.

Kanak-kanak terbabit bagaimanapun dilaporkan ditemui dengan selamat kira-kira dua jam selepas hebahan kehilangannya dibuat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here