Tubuh pasukan khas teliti isu keperluan asas pelajar – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa satu pasukan khas ditubuhkan untuk meneliti isu keperluan kelengkapan asas untuk mengikut pembelajaran kepada golongan pelajar.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat isu itu secara menyeluruh dan bukan secara ‘in silo’ atau terpencil dengan memfokuskan kepada kes di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sahaja.

“Saya yakin masih ramai di luar sana yang sedang menghadapi isu yang sama. Saya sarankan agar satu pasukan khas ditubuhkan untuk meneliti isu sebegini dengan mendalam dan segera.

“Satu dasar atau pendekatan baharu sangat diperlukan untuk kita berhadapan dengan semua ini,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pandemik yang melanda sejak dua tahun ini telah banyak membongkar kelemahan sistem masyarakat khususnya dalam dunia pendidikan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga harap akan ada tindakan menyeluruh yang diambil dengan bersungguh-sungguh menyelesaikan polemik tersebut.

“Ingatlah generasi pelajar adalah masa depan kita dan negara. Penting untuk kita memastikan mereka dapat berkembang dan menjadi terdidik dengan cara yang selayaknya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, isu terbabit juga perlu dilihat dalam konteks yang menjangkaui komen seorang pensyarah kepada pelajarnya.

Katanya, ia menunjukkan betapa masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai kelengkapan asas untuk mengikut pembelajaran, apatah lagi kuliah yang dilakukan dalam talian.

“Kerajaan dan pemimpin mesti melihat perkara ini dengan serius. Kita memerlukan satu intervensi yang berkesan dan menyeluruh agar isu seperti ini dapat ditangani secara holistik.

“Pendidikan adalah keperluan dan hak asas. Tidak ada anggota masyarakat dan anak-anak kita yang harus bergelut untuk mendapatkannya.

“Ia mencerminkan kita semua sebagai sebuah masyarakat.Tidak semua mempunyai latar belakang hidup yang sama,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat tular memaparkan pensyarah wanita memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita berkenaan turut meminta pelajar terbabit meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here