BUKAN satu, tapi dua klip video tular berkaitan seorang pensyarah berpangkat Profesor memarahi pelajarnya di kelas ‘online’.
Video kedua ini yang berdurasi 17 saat itu memaparkan pensyarah itu memarahi pelajarnya yang lewat menghadiri sesi kelas secara maya.
Beliau berleter terhadap pelajar yang lewat itu sebelum ‘meleret’ bercerita tentang para pensyarah yang didakwa sangat ‘takut’ dan mendengar kata-katanya.
“All your lecturers patuh kepada aku and yet you came late. Kenapa kau masuk lambat? You tell me. Kepala ot*k kau, mesti jenis bukan sembahyang Subuh.
“I told you, sebelum kau pergi kelas, kau kena datang awal. One more time, I halau you dari kelas ni. Kau cari pasal. Semua lecturers takkan melawan aku, rektor takkan melawan aku,” katanya selepas pelajar itu memberi alasan dia lewat bangun tidur.
Bagaimanapun yang menjadi misteri sehingga kini ialah siapakah pelajar yang sebenar menular dua video tersebut.
Kedua-dua klip video itu telah dimuat naik oleh pelayar Twitter yang dikenali sebagai Awadulahysr sejak malam tadi dan telah memadamkannya selepas ianya menjadi tular.
Malah akaun Twitter pelajar itu telah dipadam juga setelah apa yang dihajati tercapai.
Namun netizen sempat berinteraksi dengannya dan hasil tangkap layar menunjukkan niat sebenar pelajar itu terhadap pensyarahnya itu.
Awadulahysr yang sudah memadam video tersebut menjelaskan bahawa dia bukan menyokong tindakan pelajar itu sebaliknya hanya mahu mendedahkan sikap pensyarah berkenaan yang didakwa riak.
Seorang lagi pengguna Twitter yang dikenali sebagai Inderasakti_kl mengakui tindakan pelajar B40 itu adalah bijak apabila mendedahkan perkara tersebut selepas tamat pengajian.
“Bila tengok video ni, baru faham kenapa student tu tunggu habis belajar baru dia viralkan. Sungguh menakutkan prof ni. Dia kata, tak kata takda sesiapa berani lawan dia. Mak aiii,” ciapnya.
Inderasakti_kl telah memuat naik video tersebut yang kemudiannya diulang kicau lebih 1,000 kali dan menerima 1,348 tanda suka selain pelbagai kecaman netizen yang kurang berpuas hati terhadap pensyarah terbabit.
Terdahulu, hari ini netizen ‘panas’ mengenai tindakan seorang pensyarah yang didakwa menghina seorang pelajar B40 susulan klip video sesi pengajaran secara dalam talian tular di platform media sosial sejak malam tadi.
Pensyarah itu memarahi pelajar tersebut kerana masih belum memilki laptop sendiri meskipun sedang berada di semester lima.
Apa yang kurang menyenangkan netizen apabila pensyarah itu marah sehingga menyentuh perihal keluarga pelajar itu yang dikategorikan B40. – Malaysiapost

