Polis ambil tindakan anggota enggan terima laporan keganasan rumah tangga

0
3

POLIS tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati enggan menerima laporan kes keganasan rumah tangga.

Ia susulan dakwaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya mengambil perhatian serius isu yang dibangkitkan KPWKM pada 28 Mac lalu.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang pelanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga sebagaimana didakwa.

“Ini kerana sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuatkuasa pada 1 Jun 1996, PDRM telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes-kes keganasan rumah tangga untuk dipatuhi di semua peringkat.

“Ini termasuklah arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Jalil berkata, polis memohon KPWKM dan mana-mana pihak yang terkesan berhubung isu dibangkitkan untuk tampil serta memberi maklumat lebih terperinci supaya siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan diambil ke atas anggota yang terlibat jika ia benar berlaku.

Kelmarin, Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Harun dilaporkan akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan keluhan sesetengah mangsa keganasan rumah tangga yang mengadu polis enggan menerima laporan mereka dengan alasan itu adalah isu keluarga.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu akan dibawa dalam libat urus yang sentiasa diadakan dengan KDN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here