RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu digubal dengan teliti supaya dapat diguna pakai untuk tempoh lama dan tidak mudah untuk dipinda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perbincangan mengenai perkara itu telah dimulakan kerajaan dengan wakil pembangkang pada 25 dan 30 Januari lalu.
Menurutnya, perbincangan itu melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal, Transformasi dan Kestabilan Politik yang secara prinsipnya bersetuju dengan draf pentadbiran yang disediakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara.
“Draf ini seterusnya dibentangkan dan dipersetujui Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dianggotai Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 10 Februari lalu.
“Jawatankuasa ini secara umumnya berpandangan draf pentadbiran ini tidak mempunyai apa-apa kesalahan kerana dirangka teliti dan disertakan justifikasi kukuh bagi setiap tafsiran, selaras Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Negara hari ini, lapor Malaysia Gazette.
Wan Junaidi berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose yang meminta penjelasan Perdana Menteri, sejauh mana tindakan serta perancangan yang telah dirangka kerajaan dalam melaksanakan RUU Anti Lompat Parti bagi mengelakkan berlaku ketidakstabilan politik dalam negara.
Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan telah melaksanakan lima sesi libat urus iaitu bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat kerajaan dan Ahli-ahli Dewan Negara pada 8 Februari 2022.
“Bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang pada 9 Februari, bersama Majlis Tertinggi Parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2 Mac, bersama Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) pada 7 Mac dan bersama wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 8 Mac 2022.
“Sesi libat urus bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN) telah diadakan pada 29 Mac lalu dan Perikatan Nasional (PN) dijadualkan 5 April ini.
“Sesi yang dirancangkan pada 28 dan 29 Februari lalu ditangguhkan kerana jentera parti hendak memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac lalu,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan supaya sesi libat urus bersama parti-parti utama iaitu BN dan Bersatu perlu diteruskan bagi menjelaskan perkara dasar berkenaan RUU itu.
Manakala, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik yang akan disertai wakil kerajaan dan pembangkang untuk memperhalusi perkara utama berkenaan RUU itu dijadual bersidang hari ini. – Malaysiapost

