Kes pukul di kedai serbaneka, polis rakam percakapan 4 saksi

0
2

POLIS sudah merakam percakapan empat saksi bagi membantu siasatan berhubung satu video tular memaparkan lelaki berpakaian seragam anggota keselamatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata susulan kejadian itu pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, katanya, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan.

“Video berdurasi 41 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok, madamluniey dengan menunjukkan seorang individu dikasari oleh individu lain di hadapan kedai serbaneka di Jalan Bukit Bintang.

“Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah menjalankan usaha mengesan individu yang terbabit sebaik sahaja klip video itu tular sejak 25 Mac lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh hubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hazim Hussain di talian 019-7749678 atau IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Malam tadi, Prasarana menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung video tular memaparkan lelaki berpakaian seragam syarikat itu memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka.

“Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

“Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut,” menurut kenyataan itu.

Prasarana berkata, bagaimanapun tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here