KERJA pembinaan semula lima gerai yang musnah dalam kebakaran di Felda Ulu Tebrau, Johor, Jumaat lalu, sudah bermula pagi semalam.
Menurut kenyataan dalam laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, kerja pembinaan semua itu bermula kurang 24 jam selepas lawatan Sultan Johor ke lokasi kejadian.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda menyenangi budaya kerja yang pantas untuk membantu rakyat yang turut menjadi amalan baginda.
“Tengah hari semalam saya melawat kawasan kejadian dan pagi ini kerja-kerja sudah pun bermula.
“Saya sentiasa mahukan tindakan pantas membantu rakyat. Ini merupakan cara kerja saya, kurangkan bercakap lebihkan berkerja,” titah baginda.
Ahad lalu, Sultan Ibrahim berkenan membiayai kos pembinaan semula lima lot gerai yang musnah dalam kebakaran di Felda Ulu Tebrau, Jumaat lalu.
Malah, keberangkatan baginda melawat kawasan kejadian membawa sinaran baharu kepada peniaga terlibat apabila mengumumkan kos pembinaan semula gerai yang terjejas akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Kerja-kerja meroboh gerai bagi pembinaan semula dipantau sendiri oleh wakil Baginda, Yang Berhormat Mejar Cina Datuk David Wong. – Malaysiapost

