Netizen kagum Reezal Merican petah berbahasa Arab 

0
3

KEPETAHAN Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbahasa Arab menarik perhatian netizen. 

Menerusi satu video dimuatnaik di Facebooknya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berbual dalam bahasa Arab tanpa dibantu penterjemah ketika lawatan kerja ke Farz Material Recovery Facility di Dubai semalam. 

Dalam video itu, beliau kelihatan bersahaja berbual santai bersama Sheikh Jamal Abdulla Lootah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Kumpulan Imdaad, pemilik Farz MFR. 

Susulan itu netizen memberikan reaksi positif terhadap kemampuan Reezal Merican berbahasa Arab. 

Sementara itu Reezal Merican berkata, kunjungannya ke fasiliti Farz MRF bertujuan melihat potensi teknologi terkini dalam pengumpulan, pengasingan dan proses pembungkusan bahan terbuang untuk dihantar kepada pembeli bahan bagi menghasilkan produk baharu.  

Menurutnya, teknologi itu juga berpotensi menghasilkan kitaran ekonomi industri hiliran yang bernilai tinggi kepada pasaran dan memanfaatkan rakyat.  

“Ini sebahagian usaha kerajaan untuk membawa keupayaan teknologi kitar semula seperti MRF ini ke Malaysia dalam aspirasi memastikan Malaysia mampu mencapai matlamat di bawah kerangka Sustainable Development Goals (SDG) yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.  

“Ia sekali gus merealisasi sasaran peningkatan kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang 2025.  

“Ini termasuklah inisiatif seperti fasiliti waste to energy (WTE) yang menjadi sebahagian daripada model Ekonomi Kitaran yang mensasarkan pendekatan pemerolehan semula sisa (waste recovery),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here