Peralihan fasa bukan bermakna kanak-kanak tak perlu lagi divaksinasi 

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=424612545924848&set=pb.100051283185381.-2207520000..&type=3

ADA dalam kalangan ibu bapa menganggap kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun tidak perlu lagi diberi vaksinasi apabila negara beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ pada 1 April ini. 

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata ini kerana mulai tarikh tersebut banyak aktiviti yang tidak dibenarkan akan dibuka dan prosedur operasi standard (SOP) mula dilonggarkan.  

Bagaimanapun beliau berkata, hakikatnya terdapat peningkatan 160 peratus bilangan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun 2022.  

“Bagi memastikan kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan dari jangkitan teruk Covid-19 dan komplikasinya, KKM mengesyorkan supaya kanak-kanak yang belum divaksinasi mendapatkan vaksin dengan kadar segera. 

“Ini kerana manfaat vaksinasi adalah jauh lebih tinggi berbanding risiko mendapat kesan sampingan dan komplikasinya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.  

Sehubungan itu, Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang membawa anak ke pusat pemberian vaksin (PPV) pada hari mereka bekerja akan diberi surat pengesahan kehadiran (time-slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk vaksinasi.  

Pada masa sama katanya, KKM berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam membenarkan ibu bapa membawa anak untuk vaksinasi. 

“Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikai MySejahtera untuk mendapatkan pautan janjitemu atau membawa anak 5 hingga bawah 12 tahun secara ‘walk -in’ ke PPV yang telah diwarwarkan sebelum ini.  

“Pilihlah untuk mevaksinkan anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko mendapat kesan sampingan vaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here