Jangan perjudikan hidup, segera ambil vaksin – MMA

0
2

INDIVIDU yang masih belum divaksin diingatkan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan hanya menolak vaksin Covid-19.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Kok Kar Chai, berkata walaupun negara dalam fasa peralihan kepada endemik, hospital masih menerima kemasukan pesakit dan merekodkan kematian akibat Covid-19 setiap hari.

Katanya, walaupun gejala Covid-19 dengan varian Omicron kebanyakannya ringan, namun keadaan itu tidak selalu berlaku terutama kepada mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

“Jika sistem imun semulajadi seseorang lemah, masih ada kemungkinan mendapat simptom yang teruk apabila dijangkiti virus itu, walaupun telah divaksin, apatah lagi mereka yang belum menerima suntikan utama.

“Oleh itu, mesej MMA kepada orang ramai ialah ‘jangan perjudikan hidup anda’. Dapatkan perlindungan maksimum yang tersedia melalui vaksinasi dan suntikan penggalak.” katanya dalam kenyataan.

Kar Chari berkata, pihaknya menasihati golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang masih belum menerima suntikan penggalak supaya tidak berlengah untuk mengambil vaksin.

Jelasnya, varian Omicron sangat mudah menular dan ini menjadikan kemungkinan semua orang dijangkiti Covid-19 pada satu ketika amat tinggi.

“Jadi yang terbaik adalah mendapatkan perlindungan tambahan dengan dos penggalak. Jika anda masih tidak pasti, rujuk keluarga anda dengan doktor,” katanya.

Jelasnya, tiada banyak yang boleh dilakukan bagi mereka yang masih bertegas untuk tidak mengambil dos penggalak meskipun pelbagai usaha telah diambil untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenainya.

“Bukti telah menunjukkan bahawa mereka yang divaksin dengan dua dos vaksin Sinovac akan memerlukan dos penggalak untuk memastikan tahap imuniti yang mencukupi. Ini terutamanya bagi mereka yang sudah tua serta mereka yang mempunyai komorbiditi,” katanya.

Sepanjang minggu lalu, purata 67.6 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, manakala purata bagi 30 hari lalu ialah 74.3, menunjukkan bahawa kematian Covid-19 berada dalam aliran menurun.

Semalam, sebanyak 34 kes kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 34,751 sejak virus tersebut melanda negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here