
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan semua pengembara dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera sebelum memulakan perjalanan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pengembara dikehendaki melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon Traveller dalam MySejahtera.
Selain itu, katanya, pengembara perlu melaporkan dan muatnaik keputusan Ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.
“Manakala bagi pengembara yang pernah dijangkiti dalam tempoh 6 hingga 60 hari, mereka perlu melaporkan dan muatnaik keputusan RTK Antigen Profesional yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Khairy berkata, bagi pengembara bukan warganegara, mereka juga dikehendaki untuk mempunyai Perlindungan insuran (Covid-19 dan pengembaraan) serta perlu menyatakan alamat tempat penginapan di negara ini.
Menurutnya, dengan penghantaran maklumat berkenaan, pengembara akan mendapat dua paparan dalam aplikasi MySejahtera.
“Ia adalah maklumat berkenaan Kad Pengembara (Travellers Card) bagi pengembara dengan vaksin lengkap.
“Selain itu, maklumat arahan pengawasan dan pemerhatian (Home Surveillance Order (HO)) selama lima hari bagi pengembara tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata bagi pengembara yang tiada paparan kad pengembara atau arahan HO, mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan. – Malaysiapost
