MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini bersetuju untuk memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata mesyuarat yang dipengerusikan beliau di Putrajaya turut mengambil maklum hala tuju sektor agro makanan negara yang digariskan di bawah RMKe-12.
Menurutnya perbincangan adalah melibatkan pembentangan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh
usahawan tani Malaysia.
“Kerajaan pada prinsipnya bersetuju supaya MAFI berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan tani untuk pertanian agar dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan bagi mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju.
“Mesyuarat bersetuju agar ketiga-tiga kertas yang dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022-2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara.
“Mesyuarat juga menetapkan Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan (MOF) dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Ismail Sabri berkata kerajaan berharap sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

