Selepas bantah, kini Nazri sokong pula PRU15 diadakan segera

0
2

KERAJAAN memiliki alasan kukuh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat ini, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan dalam meluluskan usul di Dewan Rakyat semalam telah menimbulkan pelbagai persepsi buruk kepada kerajaan yang menjadi pemerintah ketika ini.

“Jadi persepsi rakyat, dengan majoriti yang ada kerajaan kalah. Tak kiralah kerana orang tak datang mengundi ke apa… Tapi faktanya kita kalah dalam usul dan perkara terbaik sekarang ialah serahkan kembali kepada rakyat, iaitu PRU.

“Bagi rakyat biasa pula, mereka tengok persepsi. Kerajaan kalah! Macam mana di masa akan datang nanti kita nak buat rang undang-undang kerana tidak dapat diluluskan.

“Kalau mereka fikirkan untuk serah mandat semula kepada pengundi untuk memilih, inilah caranya kerana kita telah gagal walaupun ada MoU yang tidak diikuti, walaupun mereka (pembangkang) kata akur, tapi bagi pihak kita mereka tidak akur.

“Dalam soal ini saya rasa kerajaan perlu ada moralnya, jadi saya serahkan kepada parti saya untuk buat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas menteri itu sebelum ini paling lantang mempertahankan PRU15 tidak perlu diadakan segera.

Namun beliau mengubah pandangannya susulan kegagalan kerajaan melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, semalam.

“Kita mempunyai alasan sekarang untuk mengadakan pilihan raya, dan ini bukanlah keputusan saya, ini keputusan parti saya.

“Baru-baru ini Umno ada buat desakan, pada ketika itu saya pertahankan jangan ada PRU, sebab tiada sebab kerana kita ada MOU. Tapi hari ini tidak lagi.

“Pada pandangan saya, sukar untuk kerajaan berkuasa hari ini, sukar kita mentadbir kerajaan kerana kita kalah moral dah kalah usul,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here