Najib, Kit Siang bayar kompaun RM1,000

0
2

DATUK Seri Najib Razak memaklumkan beliau sudah membayar kompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, hari ini.

Bekas Perdana Menteri memaklumakn perkara itu menerusi hantaran ringkas di Facebooknya yang turut memuat naik foto resit pembayaran kompaun berkenaan.

“Kompaun sudah dibayar,” tulis Najib.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menerusi hantaran di Facebooknya turut memaklumkan sudah menjelaskan kompaun RM1,000 yang dikenakan kepadanya, hari ini.

“Hari ini, saya sudah jelaskan kompaun RM1,000 yang dikeluarkan KKM. Ia sudah dibayar,” katanya.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan KKM sudah mengeluarkan kompaun Kit Siang atas kesalahan melanggar SOP pengawalan wabak Covid-19.

Menerusi ciapan di Twitter, Khairy berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan pada 20 Mac dan beliau turut menyertakan bukti kertas saman terhadap Kit Siang.

Khairy membuat perkongsian itu sebagai reaksi selepas Najib mempersoalkan mengapa Kit Siang tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli parti pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 yang berlangsung Ahad lalu.

“KKM juga harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS (Datuk Seri) enggan terima sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata KKM mengeluarkan lima kompaun kepada Najib atas kesalahan pelanggaran SOP pada PRN Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here