‘Saya tak sanggup lihat Zul Ariffin dikecam bertubi-tubi’ – Iqbal

0
2

USAHAWAN sensasi Ahmad Iqbal Zulkefli yang turut sama berlakon dalam drama bertajuk ‘Perempuan Itu’ mengakui tidak sanggup melihat pelakon Zul Ariffin menerima ‘asakan’ kecaman gara-gara klip video yang tular di media sosial.

Menurut Iqbal, ketika menjalani penggambaran drama itu dia menjadikan contoh karakter Zul yang sangat tenang.

“Saya tidak sanggup lihat Zul Ariffin dikecam bertubi-tubi. Hampir setiap hari saya menjalani penggambaran bersamanya dan setiap hari juga saya belajar menjadi orang yang tenang seperti Zul Ariffin.

“Tetapi kali ini, apabila dia memerlukan semangat, saya rasa bersalah. Walaupun mulut dan riak wajahnya tetap senyum, saya tahu dia memerlukan sokongan,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Berkongsi pengalaman ketika bekerjasama dengan pelakon itu, Iqbal menyifatkan Zul sebagai seorang pelakon paling tenang dan bersikap terbuka yang pernah dikenali selama ini.

“Dia (Zul Ariffin) bukan orang yang banyak karenah. Dia orang yang baik dan pemurah. Biarlah sejuta orang memberi hentaman, tetaplah kita pilih untuk menjadi penguat untuk orang yang memerlukan semangat.

“Bukan bererti membenarkan hal yang tidak manis, tetapi jangan lupa sisi baiknya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Iqbal turut berkata sudi menerima dan menjadi pendengar bagi sesiapa sahaja yang memerlukan ketika ini.

“Saya tahu, ada waktu pasti saya juga akan lakukan kesilapan. Tidak hari ini, di hari mendatang. Pada ketika itu semua manusia memilih untuk menjauh.

“Membiarkan saya terkapai-kapai dan cuba untuk menjadi lebih baik, tetapi ditendang,” luahnya dalam hantaran tersebut.

Zul Ariffin dikecam hebat selepas memuat naik klip video ‘teaser’ drama bertajuk Perempuan Itu yang memaparkan adegan mengghairahkan lakonannya bersama seorang pelakon wanita.

Lakonannya menjadi bahan buah mulut ramai kerana memaparkan aksi yang tidak sesuai untuk disiarkan untuk tatapan umum seperti mendukung pelakon wanita Siti Hariesa dan menyuap whipping cream dalam keadaan ghairah.

Isu tersebut turut menerima teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter memaklumkan pelakon itu akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 berhubung klip video adegan panas lakonannya itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here