PEMBANGKANG Malaysia barangkali satu-satunya pembangkang dalam dunia yang tidak mahu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu, berkata untuk tujuan itu mereka menawarkan memorandum persefahaman (MoU) 2.0 kepada kerajaan demi memastikan PRU-15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.
“Mereka mahu membeli masa untuk mencipta tipu daya dan fitnah-fitnah baharu selepas segala penipuan mereka diketahui dan ‘direject’ oleh rakyat.
“(Justeru) apakah Umno/Barisan Nasional (BN) begitu naif perlu berkompromi dan membantu menjayakan strategi dan muslihat mereka?,” katanya menerusi Facebook.
Jelas Ahmad Zahid lagi, beliau juga yakin pembangkang pasti tidak berbuat demikian jika Umno dan BN yang berada dalam kedudukan mereka iaitu ditolak oleh rakyat.
“PRU-15 bukan semata-mata tentang politik, sebaliknya misi rakyat mengembalikan kemakmuran, kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan di bumi tercinta Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, rakyat menaruh harapan tinggi kepada BN untuk mengembalikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan yang dirampas daripada mereka sejak 2018.
Katanya, tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung dalam keadaan pandemik mampu dijayakan secara selamat dan teratur.
“Perhimpunan Agung Umno 2021 turut meyakini BN mampu kembali sebagai sebuah kerajaan dominan tanpa perlu mengharapkan ehsan seteru politik.
“Itu tidak langsung memperlihatkan sebuah kesombongan mahupun keangkuhan, tetapi ia adalah realiti dalam kancah politik semasa dan mengapa PRU-15 perlu diadakan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, PAU 2021 yang berakhir Sabtu lalu menggamit sebuah kesatuan yang padu dalam parti keramat agama, bangsa dan negara.
“Perihal yang membelenggu telah pun dileraikan. Ketetapan berhubung PRU-15 perlu disegerakan telah pun disepakati.
“Kini cuma menunggu masa untuk Umno memasuki gelanggang penentuan bagi menjulang kembali BN sebagai sebuah kerajaan dominan.
“Justeru tidak wajar kita berfikiran pesimistik BN belum berada dalam kedudukan terbaik untuk berdepan PRU-15 hanya kerana dipengaruhi sentimen tertentu,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, Umno dan BN seharusnya optimis berdasarkan apa yang telah dipersembahkan pada banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan tiga PRN yang sudah berlangsung.
“Optimism itu bagaimanapun tidaklah pada kadar yang keterlaluan kerana masih ada sedikit lagi ruang di sana sini yang boleh ditambah baik secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

