MEMBELANJAKAN berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.
Perkara ditegaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan cadangan Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan perlu segera membantu Sapura Energy menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.
Rafizi berkata sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu.
Namun katanya, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras tinggi, berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik.
“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk bina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.
“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi, beliau akan terus memantau isu itu dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib.
“Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.
“Sekembalinya saya ke arena politik, Insya-Allah setiap idea songsang Najib akan menerima maklum balas dari saya,” katanya.
Kelmarin Najib berkata tindakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membantu dan mengambil ringan masalah Sapura Energy adalah kurang tepat.
Katanya, PNB dan kerajaan perlu memikirkan tentang kepentingan strategik negara, ekosistem vendor Bumiputera, pekerjaan nilai tinggi bagi rakyat serta ekonomi keseluruhan negara, bukan sekadar cuma satu lagi pelaburan.
Sehubungan itu, Najib menyarankan kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan Proton. – Malaysiapost

