TLDM semarak hubungan bersama TNI-AL

0
2

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus menyemarakkan kerjasama pertahanan maritim bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) menerusi pelaksanaan OP PATKOR MALINDO siri 155/22 di perairan Selat Melaka mulai 17 lalu hingga 31 Mac ini.

Operasi gabungan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia ini menggariskan matlamat memperkasa rondaan penguatkuasaan perundangan maritim di perairan kedua negara dalam usaha menentukan kedaulatan perairan Selat Melaka kekal selamat dan terpelihara.

Markas Pemerintahan Armada Barat menerusi kenyataan berkata selain itu operasi juga adalah rondaan koordinasi
bersama dua negara yang telah terlaksana sejak termeterainya Prevention of Sea Incident Cooperative Guidelines (MALINDO INCSEA) pada 18 Januari 2001.

“OP PATKOR MALINDO 155/22 kali ini memperlihat komitmen jitu dipamerkan dari kedua angkatan laut menerusi penglibatan aset KD TEGUH SAMUDERA dan KD JERAI bagi TLDM manakala TNI-AL menugaskan KRI LEPU dan KRI SILEA.

“Penugasan rondaan di laut bagi aset yang terlibat dilaksanakan mulai 19 hingga 29 Mac dalam memupuk kesepaduan dan kesefahaman bersama mengenai kepentingan pemeliharaan tahap keselamatan perairan Selat Melaka di samping mengukuh keyakinan komuniti maritim.

“Kerjasama erat antara dua negara akan terus disuburkan dalam memastikan perairan Selat Melaka sentiasa bebas ancaman aktiviti rentas sempadan, pemerdagangan manusia, penyeludupan, pelanunan mahupun rompakan di laut yang bertentangan dengan undang-undang kedua-dua negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, TLDM akan sentiasa memanfaatkan peluang untuk beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi keselamatan maritim negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here