JABATAN Logistik dan Teknologi (JLOG) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan ‘Integrated Police Reporting System’ (IPRS) kini dalam proses naiktaraf perkakasan dan perisian pangkalan data ke versi terkini.
Timbalan Pengarah JLOG, Datuk Shukri Abdullah, berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu telah dijalankan secara berfasa bermula 19 Mac lalu dan memo dalaman mengenainya telah diedarkan kepada semua formasi PDRM pada 15 Mac lalu.
Menurutnya, ia agar persediaan diaturkan bagi sistem manual digunakan di mana-mana formasi yang mengalami kesukaran mengakses IPRS dalam tempoh penyelenggaraan tersebut.
“Proses menariktaraf pangkalan data ini adalah sepertimana yang telah ditetapkan di dalam kontrak penyelenggaraan sistem tersebut demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Pihak syarikat yang dilantik sedang menjalankan konfigurasi dan ‘troubleshooting’ bagi isu-isu teknikal yang berbangkit ekoran proses migrasi data yang besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan mengenai IPRS bagi menerima laporan polis mengalami gangguan teknikal untuk diakses di seluruh negara seperti yang tersebar di media sosial.
Shukri berkata, sebarang kesukaran mengakses IPRS yang dialami merupakan gangguan sementara dan keseluruhan proses penyelenggaraan dijangka akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“PDRM mempunyai proses kerja secara manual bagi memastikan kesukaran mengakses IPRS tidak menjejaskan penerimaan laporan polis.
“Orang ramai yang perlu membuat laporan polis masih boleh berurusan seperti biasa di mana-mana kaunter balai polis,” katanya. – Malaysiapost

