KEJAYAAN penganjuran Persidangan Agung Umno (PAU) 2021 bermula Khamis lalu dan berakhir semalam, antaranya adalah hasil sumbangan dan kerja keras Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berpendapat penganjuran perhimpunan parti terbesar negara itu adalah sesuatu yang mencabar terutama bagi Setiausaha Agung.
“Rasanya nak bagi kredit (pujian) sikit kat kawan saya ini. Masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor beliau dan pasukannya berkampung di sana. Bila Parlimen bersidang turun naik ke Kuala Lumpur. Tup tup…PAU, empat hari selepas tamat PRN.
“Banyak kerja yang biasa dibuat 30 hari, kena siapkan dalam masa tiga hari.
“PAU bukan hanya satu perhimpunan. Ada empat perhimpunan membabitkan tiga sayap berjalan serentak. Diikuti Perhimpunan utama selama dua hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Shabery berkata, ribuan perwakilan dan tidak termasuk jemputan dan tetamu asing yang perlu dikendalikan dengan sempurna.
“Sikit salah, Umno boleh dibatalkan. Sensitiviti protokol dan makan minum kena dijaga. Tak termasuk prosedur operasi (SOP) ketat yang masih dikenakan. Semua diambil kira.
“Setiap orang dah jadi wartawan, bawa kamera di poket. Semua boleh sebarkan berita tak baik kalau ada yang tak kena. Masa paling mencabar kepada sesiapa pun kalau jadi Setiausaha Agung kepada sebuah parti yang terbesar,” katanya.
Menurutnya, mesej daripada penganjuran PAU adalah tidak mungkin Umno dapat memikul tanggungjawab yang lebih besar kalau tidak boleh kendalikan hal-hal yang sebegini besar.
“Terima kasih dan tahniah Tok Mat (Ahmad) Maslan dan semua anggota pasukannya Bukan takat juara pantun,” katanya. – Malaysiapost

