UMNO bukan parti kemaruk kuasa, sebaliknya mahu membela nasib rakyat dan negara, kata bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, melihat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan tugasnya, juga menunjukkan Umno mampu memimpin negara jauh lebih baik.
“Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri menunjukkan bahawa perkara-perkara yang diperjuangkan oleh pemimpin Umno selama ini seperti i-Citra mendapat kelulusan.
“Justeru, ini sebagai satu contoh bahawa Umno ini kalau ada kuasa memang bukan tujuan nak kuasa semata-mata, bukan kemaruk kuasa semata-mata tapi kita nak membela dan menentukan kesejahteraan rakyat dan negara.
“Selain itu, dengan pengumuman tambahan dibuat Perdana Menteri hari ini jelas bahawa Umno mampu memimpin negara ke arah satu masa depan yang jauh lebih baik,” katanya.
Selain itu, Najib berkata, kesimpulan ucapan daripada Presiden, Timbalan Presiden, Perdana Menteri, termasuk perwakilan mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan waktu yang sesuai dan tepat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kesemua ahli Umno untuk sentiasa bersatu bagi memenangi PRU akan datang.
“Ucapan Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri dan mengambil iktibar daripada suasana PAU 2021 dan kehendak daripada perwakilan, pertama mereka berkehendakkan supaya ada konsensus, meletakkan kepentingan parti mendahului segala kepentingan dalam menentukan bilakah tarikh PRU15 yang paling tepat, paling sesuai sekali.
“Kedua mesejnya, waima pun kita mesti bersatu dan kita mesti padu kerana itulah pra-syarat kita berjaya dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya. – Malaysiapost

