Idris Ahmad tegur klip adegan ‘panas’ Zul Ariffin

0
2

RAKAMAN video pendek adegan ‘panas’ lakonan Zul Ariffin bersama pelakon baharu, Siti Hariesa di Instagram mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk menerima teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Menerusi hantaran di Facebook, Idris mengakui kecewa dengan perkongsian video promosi drama terbaharu lakonan dua pelakon berkenaan yang tular ketika Umat Islam menanti kedatangan bulan Ramadan.

Beliau juga menyifatkan ianya adalah tindakan yang melampaui batas dan harus ditegur.

“Hela nafas panjang saya apabila sebuah drama yang ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun, seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampaui batas yang perlu ditegur.

“Saya akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah,” katanya dalam hantaran itu.

Idris berkata, hiburan tidak dihalang dalam Islam, namun terdapat displin yang tegas lebih-lebih lagi melibatkan ikhtilat berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat.

Katanya, industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin beliau ingin halangi.

“Tetapi jika ia mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ia berlaku tanpa dinasihati.

“Pada masa sama, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan, untuk bersiap menghadapi Ramadan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

“Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela,” katanya.

Semalam, Zul menerima kecaman hebat selepas memuat naik klip video pendek sebuah drama bertajuk ‘Perempuan Itu’ yang memaparkan adegan mengghairahkan lakonannya bersama Siti Hariesa.

Zul bagaimanapun dikatakan sudah memadam babak panas berkenaan di Instagramnya yang memaparkan dia mendukung pelakon baru itu selain babak menyuap makanan secara menghairahkan antara kedua-dua pelakon itu.

Perempuan Itu arahan Erma Fatima turut dibintangi aktres Mimi Lana dan pendatang baharu, Iqbal Zulkefli yang akan menemui penonton menerusi TV3 menjelang Ramadan ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here